Seorang maut dalam kemalangan di Jalan Sri Aman-Betong

Kereta dinaiki mangsa dan beberapa individu lain remuk selepas kemalangan tersebut.

SRI AMAN, 12 Jan: Seorang lelaki meninggal dunia setelah kereta yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 56 Jalan Sri Aman-Betong petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sri Aman, ASP Mass Nur Haslinda Abdullah berkata kejadian berlaku ketika mangsa bersama beberapa lagi individu sedang dalam perjalanan dari arah Betong sekitar jam 5.20 petang.

Katanya, kereta yang dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar penghadang jalan.


Difahamkan kesemua mangsa tercampak keluar dari dalam kereta.

Mangsa yang merupakan penumpang belakang kereta tersebut disahkan maut di tempat kejadian.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Betong untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Betong untuk menerima rawatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. — DayakDaily