Seorang maut dalam kemalangan di Jalan Bintulu-Miri

Keadaan di lokasi kemalangan.
Advertisement

BINTULU, 29 Sept: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia dalam kemalangan di Batu 8, Jalan Pan Borneo Bintulu-Miri, awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kemalangan tersebut membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan sebuah lori sawit 10 tan.

Katanya, beberapa anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan sekitar jam 3.12 pagi.

Advertisement

“Pasukan operasi bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa yang masih tersepit di dalam kenderaan pacuan empat roda terbabit menggunakan peralatan penyelamat.

“Seorang daripada mangsa yang berusia 20 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan kerana mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, seorang lagi mangsa mengalami cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Bintulu menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan.

“Manakala, pemandu dan kelindan lori sawit pula hanya mengalami kecederaan ringan,” ujarnya.

Tambahnya, operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.20 pagi. — DayakDaily

Advertisement