This Content Is Only For Subscribers
SARIKEI, 29 Ogos: Seorang kalindan lori maut, manakala pemandunya cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 30 Jalan Bukit Berayang, Bukit Sebangkoi, di sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) berkata lori yang dinaiki kedua-dua mangsa semasa kejadian telah berlanggar dengan sebuah lori sehingga menyebabkan mereka tersepit.
Katanya, laporan berhubung kejadian diterima pada jam 5.49 pagi dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan dua buah lori iaitu lori kurier dan lori muatan baja.
“Terdapat dua mangsa tidak sedarkan diri tersepit di bahagian pemandu dan penumpang hadapan lori (kurier).
“Pasukan operasi bertindak melakukan operasi mengeluarkan kesemua mangsa tersepit dari lori (kurier) dan seorang daripadanya telah disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis dan mangsa yang cedera parah telah dikejarkan ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.
Manakala pemandu dan kalindan lori baja dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius.
Setelah memastikan keadaan selamat dan terkawal, pasukan Bomba kemudian berangkat balik ke balai.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.35 pagi. — DayakDaily