Seorang maut dalam kemalangan antara bas dan van di Samalaju

Keadaan van selepas bertembung dengan sebuah bas di Jalan Pesisir Samalaju pada 12 Mac 2023. Foto: Bomba Sarawak

BINTULU, 12 Mac: Seorang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah van dan bas di Jalan Pesisir Samalaju hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 7.39 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong dan Bintulu diarahkan ke lokasi kejadian.


“Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah bas pekerja dengan sebuah van. Kedua-dua pemandu kenderaan telah tersepit dan pasukan penyelamat mengunakan peralatan khas bagi mengeluarkan kedua-dua mereka.

“Mangsa pertama iaitu pemandu bas, cedera bahagian kaki dan telah berjaya dikeluarkan pada jam 9.02 pagi dan dibawa ke Hospital Bintulu untuk rawatan.

“Manakala pemandu van berjaya dikeluarkan pada jam 10.20 pagi dan telah disahkan meninggal dunia oleh anggota perubatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Seterusnya pasukan penyelamat melalukan kerja-kerja pembersihan sisa-sisa kemalangan.

Mangsa yang meninggal dunia berusia 37 tahun.

Operasi tamat pada jam 10.30 pagi. — DayakDaily