Seorang lelaki maut, wanita cedera dalam nahas dua motosikal

Keadaan di tempat kemalangan melibatkan dua motosikal.

SRI AMAN, April 24: Seorang lelaki maut selepas terlibat dalam satu kemalangan membabitkan dua buah motosikal di KM3, Simpang Perumahan Rakyat di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 pagi itu, mangsa, Albert Sanjan, 32, dari Rumah Jabih Wong Panjai disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah pada anggota badannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt. Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke bandar Sri Aman dari Temudok.


Bagaimanapun katanya, apabila tiba di lokasi kemalangan, motosikal yang ditunggangnya telah melanggar sebuah motosikal yang keluar dari simpang.

“Impak rempuhan itu mengakibatkan mangsa tercampak dari motosikalnya lalu mengalami kecederaan parah.

“Seorang wanita berusia 47 tahun yang menunggang sebuah lagi motosikal pula cedera,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Alexson menambah, siasatan awal tiada sistem kamera litar tertutup di lokasi kejadian dan tiada saksi bebas semasa kejadian.

Katanya, jalan di lokasi kemalangan adalah lurus dan cuaca dilaporkan baik ketika kemalangan.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Sri Aman untuk tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily