Seorang lelaki maut tertembak di kepala ketika sedang menjala, polis menahan seorang pemburu untuk siasatan lanjut

Suspek (tengah) ditahan polis untuk tindakan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 31 Dis: Seorang lelaki maut akibat terkena tembakan di kepala ketika sedang menjala di Suai Niah pada pagi Selasa.

Mangsa berusia 37 tahun telah disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Batu Telinggai Suai.


Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, susulan kejadian, polis telah menahan seorang lelaki berusia 47 tahun untuk siasatan lanjut.

Suspek ditahan sekitar jam 1.30 pagi Rabu di dalam sebuah ladang kelapa sawit oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri dan Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Batu Niah.

Unit Anjing Pengesan (K9) turut berjaya mengesan selaras senapang patah dan sebutir kelonsong peluru disyaki digunakan dalam kejadian.

Senjata berkenaan ditemui di dalam kawasan semak berhampiran.

Hasil siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku ketika suspek sedang berburu di kawasan hutan berhampiran sebuah sungai sekitar jam 10 pagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian. ― DayakDaily