Oleh Dean Adam
SIBU, Ogos 5: Seorang lelaki maut, manakala 60 lagi mangsa tinggal sehelai sepinggang selepas 29 pintu rumah pekerja kuari di Jalan Setapang di sini musnah terbakar, petang tadi.
Kejadian kira-kira pukul 6.10 petang itu mengakibatkan mangsa, 40-an, mengalami sesak nafas sebelum disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Klinik Sekuau.
Difahamkan, semasa kejadian itu, mangsa telah bertindak memindahkan barang-barang dari kawasan terbakar sebelum dia sesak nafas dan tidak sedarkan diri.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran berkenaan pada pukul 6.13 petang.
Katanya, sepasukan 13 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah kemudian diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.
“Apabila tiba, komander operasi melaporkan kesemua 29 pintu rumah pekerja di Blok A dan Blok B telah musnah terbakar 100 peratus.
“Namun, tindakan pantas bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke Blok C (17 pintu) yang berada pada jarak 12 kaki dari Blok B yang terbakar,” katanya di sini malam tadi.
Jurucakap sama menambah, kebakaran tersebut berjaya dikawal pada pukul 7.45 malam.
Katanya, sehingga pukul 10 malam, pasukan bomba masih lagi membuat kerja-kerja ‘overhaul’ di lokasi bagi memastikan sisa-sisa kebakaran padam sepenuhnya.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam proses siasatan,” katanya. āDayakDaily