Empat individu nyaris maut, kereta dinaiki bertembung dengan lori

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Ogos 5: Empat individu nyaris maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Batu 24 Jalan Bintulu-Miri Lama di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.55 petang itu, tiga lelaki dan seorang wanita dilaporkan mengalami kecederaan sebelum dikejarkan ke hospital.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.57 petang.

Jelasnya, sepasukan sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati seorang lelaki yang juga pemandu kereta itu masih dalam keadaan tersepit di dalam kereta.

“Pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas sebelum menyerahkan dia kepada petugas perubatan untuk rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, pemandu lori itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, pasukan bomba seterusnya menggunakan pasir untuk menimbus tumpahan minyak akibat daripada kemalangan tersebut.

“Operasi tamat sepenuhnya selepas keadaan di lokasi kejadian kembali terkawal,” katanya. — DayakDaily