Seorang lelaki maut dalam kemalangan di Jalan Bau-Kuching

Gambar komposit menunjukkan keadaan di lokasi kejadian.

KUCHING, 28 Jun: Seorang lelaki sempat keluar dari dalam keretanya sebelum disahkan meninggal dunia dalam kemalangan kendiri di Jalan Bau-Kuching, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau terus ke lokasi kejadian selepas menerima laporan pada jam 11.20 pagi.

Katanya, setiba di lokasi kejadian didapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipercayai terbabas lalu terbalik di dalam parit.

“Komander melaporkan kereta Proton Wira tersebut terbalik di kawasan parit akibat kemalangan kendiri.

“Mangsa (pemandu) telah berjaya keluar sendiri sebelum dibantu orang awam dan berada dalam keadaan tertiarap serta tidak sedarkan diri.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang turut berada di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Pihak Bomba seterusnya bertindak membuat pemeriksaan dalam kereta yang terbalik bagi mengesan samada terdapat mangsa yang tersepit.

“Ini kerana terdapat maklumat oleh orang awam berkemungkinan terdapat lagi mangsa dalam kenderaan tersebut,” katanya.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.48 pagi selepas didapati tiada sebarang mangsa lagi dalam kenderaan berkenaan.

Identiti mangsa telah dikenalpasti. Mangsa berusia 53 tahun dan berasal dari Kampung Siburan Batu 17. — DayakDaily