Seorang lelaki hilang, enam lagi selamat dalam insiden bot karam

Anggota bomba berusaha mencari mangsa.
Advertisement

Oleh Dean Adam

BETONG, Nov 3: Seorang lelaki dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaikinya bersama enam penumpang lain karam akibat dipukul ombak di Sungai Batang Saribas, di sini, hari ini.

Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 2 pagi, namun pihak bomba hanya menerima laporan mengenai insiden berkenaan pada pukul 11.25 pagi.

Advertisement

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, Vincent Baling, berkata mangsa yang dilaporkan hilang dikenal pasti sebagai Mohd Saufi Sabeni, 27.

Bagaimanapun katanya, dalam insiden sama, enam lagi penumpang lain selamat apabila berenang menyelamatkan diri mereka.

Operasi SAR melibatkan pencarian di hulu dan hilir sungai sejauh 3 kilometer.
Enam berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang hilang.

“Berdasarkan laporan diterima, bot penumpang tersebut dikatakan membawa tujuh orang termasuk pemandu bot dan dalam perjalanan ke Beladin.

“Namun, malang menimpa mereka apabila bot tersebut dikatakan karam akibat dipukul ombak semasa dalam perjalanan menyebabkan kesemua penumpang terjatuh ke Sungai Batang Saribas dengan enam daripada mereka berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang mangsa masih hilang,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Vincent memberitahu operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilakukan dengan menggunakan kaedah pencarian di permukaan sungai di sekitar bot tersebut dilaporkan karam.

Katanya, pasukan SAR telah melakukan pencarian di sekitar Sungai Batang Saribas dari hulu sehingga ke hilir sungai sejauh 2 hingga 3 kilometer.

“Disebabkan hari beransur gelap dan keadaan arus sungai berombak operasi ditangguhkan pada pukul 6.20 petang.

“Operasi SAR akan disambung esok dan sehingga kini mangsa masih belum ditemui,” ujarnya. — DayakDaily

 

Advertisement