Wanita melayang wang RM3,400 ditipu kekasih konon dari Scotland

PDRM logo.

Oleh Dean Adam

MIRI, Nov 3: Gara-gara terpedaya dengan janji-janji manis untuk diberikan hadiah oleh seorang lelaki kononnya dari Scotland, seorang wanita tempatan kerugian RM3,400 selepas ditipu lelaki berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah, berkata mangsa yang ditipu sindiket penipuan menerusi bungkusan itu berusia 54 tahun.


Katanya, berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan berkenalan dengan lelaki yang dikenali sebagai Freddie Pahala dan kini berada di Scotland.

“Selepas lama berkenalan dengan mangsa, suspek kemudian memberitahu dia telah menghantar satu kotak merupakan hadiah dan wang tunai serta beberapa dokumen peribadinya dengan menggunakan syarikat penghantaran Virgin Atlantic Express.

“Pada 29 Okt lepas, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada individu bernama Suraya di talian 011-12261128 dan memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat penghantaran berkenaan memaklumkan bahawa barang milik mangsa yang dihantar oleh teman lelaki beliau telah sampai di Pusat Penghantaran Kuala Lumpur,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa berkata wanita berkenaan kemudian meminta mangsa
membuat pembayaran sebanyak RM3,400 bagi tujuan penghantaran seterusnya.

Katanya, tanpa menyedari ditipu, mangsa kemudian memasukkan wang sebanyak RM3,400 melalui mesin CDM CIMB Bank atas nama Omar Baki.

“Pada hari yang sama, mangsa sekali lagi terima panggilan telefon dari Suraya dan meminta mangsa memasukkan wang sebanyak RM7,800.

“Mangsa yang menyedari telah ditipu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily