SIBU, Sept 16: Seorang lelaki ditemui mati dalam sebuah kenderaan Toyota Hilux di Simpang Sungai Assan, Jalan Lanang di sini malam tadi.
Lelaki yang dipercayai bekerja sebagai sub kontraktor itu dijumpai mati oleh anggota polis yang sedang melakukan rondaan pada pukul 7.15 malam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa yang dibawa ke Hospital Sibu kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan pada pukul 9.56 malam.
Jelasnya, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya.
“Berdasarkan laporan yang diterima daripada hospital, terdapat tiga kesan pendarahan di bahagian otak mangsa.
“Terdapat juga kesan lebam dan luka di bahagian lengan serta mata si mati,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Stanley menambah, susulan kejadian itu, polis berjaya menahan tiga suspek untuk membantu siasatan kes.
Jelasnya, ketiga-tiga suspek yang ditahan itu berusia antara 23 hingga 48 tahun.
“Buat masa ini, kita masih memburu seorang lagi suspek yang berumur 43 tahun.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya lagi. — DayakDaily