Tiga lelaki dilaporkan hilang selepas keluar mencari asam paya

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

MUKAH, Sept 16: Tiga lelaki dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah setelah keluar mencari asam paya di kawasan hutan Kampung Bedanga di sini semalam.

Ketiga-tiga lelaki yang dilaporkan hilang itu berusia antara 21 hingga 40 tahun.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan ketiga mangsa pada pukul 8.37 pagi.

Katanya, sepasukan anggota bomba dari BBP Mukah kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

“Berdasarkan maklumat diterima, ketiga-tiga rakan terbabit dikatakan telah masuk ke hutan pada pukul 7 pagi semalam (Sabtu).

“Bagaimanapun, kumpulan lelaki berkenaan tidak pulang setakat pukul 7 pagi tadi sebelum ahli keluarga mereka membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, operasi mencari dan menyelamat mangsa itu juga disertai pasukan polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

Jelasnya, setakat ini ketiga-tiga mangsa masih belum dijumpai.

“Pasukan mencari dan menyelamat kini giat mencari ketiga-tiga mangsa di kawasan hutan di mana ketiga lelaki tersebut mencari asam paya,” katanya. — DayakDaily