Seorang lelaki ditahan bawa muatan 2,000 liter diesel dipercayai diseludup di Subis

Muatan diesel yang dipercayai diseludup.

MIRI, 17 Mei: Seorang pemandu ditahan bersama sebuah lori kerana disyaki membawa muatan 2,000 liter minyak diesel seludup pada malam Selasa (16 Mei).

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, suspek ditahan di tepi Jalan Melor berhadapan Majlis Daerah Subis pada jam 7.30 malam.

Tangkapan dilakukan sepasukan anggota daripada Unit Risikan Marin (URM) Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Sarawak.


“Hasil pemeriksaan pemandu lori berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” ujar Alexson.

Jumlah keseluruhan rampasan termasuk lori adalah sebanyak RM 109,300.

Semua barang rampasan dan tangkapan diserah kepada Pegawai Penyiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Miri untuk siasatan dan tindakan selanjutnya. — DayakDaily