Seorang lelaki dan wanita ditangkap berhubung kes bunuh di Landeh

PDRM logo

KUCHING, 15 Mei: Dua individu ditangkap polis untuk membantu siasatan berhubung kematian seorang buruh binaan di kawasan semak di Taman KCM Landeh, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan SUPT Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata mayat mangsa iaitu seorang lelaki berusia 43 tahun dari Kampung Temong Bengan, Tebedu ditemui sekitar jam 5.30 petang.

Katanya, mayat mangsa ditemui dengan kesan kecederaan dan terdapat sebilah pisau pemotong sayur berhampiran mayat mangsa.


“Pada jam 11.30 malam, anggota kita dari Bahagian Siasatan Jenayah telah menahan seorang lelaki dan wanita di sebuah rumah dI Taman KCM Landeh untuk membantu siasatan.

“Beberapa barang kes turut ditemui dan dirampas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagai kes bunuh.

Sebarang maklumat berhuhung kejadian boleh disalurkan terus kepada pihak polis.

“Kita mohon juga orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi, jika ada maklumat sila tampil untuk membantu siasatan,” katanya. — DayakDaily