Seorang lagi lelaki tempatan disahkan positif koronavirus

A stethoscope. - DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, Feb 10: Seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun disahkan positif koronavirus, sekaligus menjadikannya mangsa ke-18.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata mangsa bekerja di Macau, China dan mempunyai sejarah perjalanan melawat ke tanah besar China sebelum kembali ke Malaysia pada Februari 1.

“Beliau mula merasa tidak sihat dan batuk pada Februari 3. Pada Februari 4 dan 6 beliau telah pergi ke klinik dan telah diberi ubat.


“Pada Februari 7, beliau masih tidak sihat dan mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan di mana selanjutnya pada hari yang sama beliau telah dirujuk ke Hospital Banting, Selangor untuk pemeriksaan dan rawatan.

“Setelah disaring dan disiasat beliau dikesan mengalami radang paru-paru (pneumonia) dan telah dimasukkan ke hospital tersebut,” katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, pemeriksaan seterusnya mendapati beliau menghidap Severe Acute Respiratory Infection (SARI) dan memerlukan pemantauan rapi.

Katanya, beliau seterusnya telah dirujuk dengan segera ke Hospital Sungai Buloh. Pihak hospital sudah pun memulakan rawatan dan menjalankan siasatan lanjut.

“Sampel klinikal pesakit telah diambil dan pada Februari 9 telah disahkan positif koronavirus,” tegas Dr Noor Hisham.

Ia menjadikan enam rakyat Malaysia disahkan positif wabak itu setakat ini.

Mengulas isu berkaitan, beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat telah pun dimaklumkan untuk mengambil tindakan siasatan, pengesanan kontak rapat, langkah pencegahan dan kawalan. — DayakDaily