Seorang guru maut dalam kemalangan di Meradong

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Advertisement

MERADONG, 29 Mei: Seorang guru maut akibat kecederaan parah selepas terlibat kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan KJD Batu 8, dekat sini pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa dikenali sebagai Flora Dayong, berusia 29 tahun, dan berasal dari Rumah Anggit, Sungai Merurun, Julau.

Jelasnya, mangsa semasa kejadian bersama seorang lagi mangsa (lelaki) dalam perjalanan dari arah Meradong menuju ke Julau iaitu sekitar jam 10.30 pagi.

Advertisement

Setiba di lokasi kejadian, kereta mereka dikatakan terbabas ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan sebuah van lalu terbabas ke dalam gaung.

Impak daripada kemalangan tersebut menyebabkan mangsa parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas diperiksa pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Manakala pemandu kereta yang juga mengalami kecederaan parah telah dikejarkan ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan.

Sementara tiga lagi mangsa iaitu pemandu dan dua penumpang van juga dilaporkan mengalami kecederaan.

Hadir sama di lokasi kejadian adalah beberapa anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor untuk membantu mengeluarkan mangsa-mangsa yang tersepit.

Siasatan lanjut berhubung kemalangan masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. ā€” DayakDaily

Advertisement