Seorang guru ditemui mati rentung dalam kebakaran di SK Batu Bungan, Mulu

Kelihatan api marak membakar dua buah kuarters di SK Batu Bungan, Mulu.

MIRI, Julai 25: Malang menimpa seorang guru wanita apabila dia ditemui mati rentung dalam kejadian kebakaran melibatkan dua buah kuarters guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Bungan, Mulu dekat sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.09 pagi itu, identiti mangsa yang ditemui mati rentung dikenalpasti sebagai Catherine Janet Tiwi, 25.

Difahamkan, dua lagi mangsa iaitu guru wanita turut melecur akibat kejadian tersebut.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai kebakaran itu pada pukul 5.09 pagi.

Katanya, sepasukan anggota bomba dari Lapangan Terbang Mulu kemudian diarahkan ke sekolah tersebut untuk melakukan operasi pemadaman kebakaran.

“Apabila tiba di lokasi kejadian pada pukul 5.40 pagi, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar kuarters sekolah terbabit.

“Pemeriksaan awal mendapati kesemua penghuni kuarters tersebut telah keluar menyelamatkan diri,” katanya hari ini.

Tiong menambah, sebaik api berjaya dipadamkan, anggota bomba yang melakukan pemeriksaan telah menemui tulang dan rangka manusia dipercayai mangsa rentung.

“Punca kebakaran itu masih lagi dalam proses siasatan,” ujarnya. — DayakDaily