BINTULU, 25 April: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu menjalankan operasi bersepadu di beberapa lokasi tumpuan ramai di sekitar bandar tersebut semalam.
Menurut laman Facebook rasmi IPD Bintulu, pemeriksaan telah dilakukan di beberapa premis perniagaan, sekatan jalan raya dan juga rondaan cegah jenayah sepanjang Op Bersepadu tersebut yang diketuai Ketua Polis Daerah Bintulu Supt Zulkipli Suhaili.
Katanya, ‘snap check’ juga dilakukan terutama di jalan yang sering menjadi tumpuan ramai agar masyarakat sentiasa beringat akan keselamatan dan etika berhemah ketika membawa kenderaan.
“Pemeriksaan di beberapa premis perniagaan dilakukan bagi memastikan tiada aktiviti menyalahi undang-undang atau cubaan untuk penjenayah melakukan kegiatan jenayah mereka.
“Operasi ini juga bertujuan mengesan pesalah pesalah lalu lintas dan pelumba haram agar tidak menggangu ketenteraman awam dijalan raya yang boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Selain itu pemeriksaan tahap kandungan alkohol bagi pemandu kenderaan juga di jalankan untuk memastikan setiap pemandu dalam keadaan bebas alkohol.
“Susulan itu, seorang lelaki warganegara tempatan telah ditahan dan disiasat di bawah Sek.45(1) APJ 1987 kerana memandu kenderaan melebihi paras alkohol yang dibenarkan,” katanya.
Pemeriksaan rambang saringan air kencing juga telah dijalankan oleh Cawangan Narkotik dalam operasi tersebut.
“Seramai 14 orang telah menjalani saringan air kencing dan seorang didapati positif dadah jenis methamphetamine. Kes disiasat di bawah Sek.15(1)(a) ADB 1952,” katanya.
IPD Bintulu akan meneruskan operasi sebegini dari semasa ke semasa bagi memastikan masyarakat di Bintulu hidup dalam keadaan selamat.
“Ia juga bertujuan mengurangkan kegusaran orang ramai untuk menjalani kehidupan harian yang lebih baik,” katanya. — DayakDaily