Semua jalan sedia ada perlu didaftarkan ke Sistem MARRIS

Hasbi pada sidang media di Limbang Sabtu lepas. Foto: UKAS
Advertisement

KUCHING, 22 Nov: Semua jalan baru atau naik taraf permukaan jalan sedia ada termasuk yang melibatkan perubahan jalan perlu didaftarkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk dimasukkan ke dalam MARRIS setiap tahun sebelum 31 Disember.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Hasbi Habibollah, MARRIS adalah satu sistem inventori untuk jalan-jalan raya negeri dan tertakluk di bawah Perlembagaan.

Katanya, setiap negeri-negeri di Malaysia di bawah Perlembagaan mendapat peruntukan untuk menyelenggara jalan-jalan negeri dan itu sudah menjadi kewajiban dalam Perlembagaan Malaysia.

Advertisement

“Saya meminta semua jalan-jalan yang baru yang telah siap dibina sama ada jalan yang sudah berturap ataupun jalan R1 atau jalan yang permukaannya berbatu dan yang lain-lain didaftarkan di bawah MARRIS.

“Masalah biasa timbul apabila jalan-jalan sedia ada tidak didaftarkan di bawah MARRIS, jadi kita tiada peruntukan khusus untuk menyelenggara jalan-jalan tersebut,” katanya menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan Kunci Rumah Bina Baru PPRT Parlimen Limbang dan Sijil Penjana Kursus Digital di Dewan Kampung Bunga Raya Limbang pada Sabtu lepas.

Dalam pada itu, Hasbi yang juga MP Limbang menggesa agensi-agensi pelaksana perlu menyelenggara mana-mana jalan yang rosak dengan segera supaya tidak merbahaya dan boleh menyebabkan kemalangan kepada pengguna jalan raya.

Ini termasuklah meletakkan papan tanda di kawasan jalan-jalan yang rosak atau belum sempat dibaiki sebagai peringatan kepada pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati ketika melalui jalan tersebut.

Berhubung jalan ke Mentawai, Hasbi menjelaskan ianya sedang dalam pembinaan dan menggesa kontraktor memberikan komitmen sepenuh dalam menyiapkan projek jalan ini yang bertujuan sebagai akses jalan pelancongan ke Gua Mulu dan Gua Buda. — DayakDaily

Advertisement