Semua ahli PKR diingatkan berpijak di bumi nyata

Abdul Jalil (lima dari kiri) merakamkan gambar kenangan bersama ahli-ahli parti semasa Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Mukah.

MUKAH, Ogos 29: Semua ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) diingatkan agar tidak mengharapkan keistimewaan dan berpijak di bumi nyata selepas berjaya menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH) yang memerintah negara di peringkat kerajaan Persekutuan.

Timbalan Pengerusi PKR Sarawak, Abdul Jalil Bujang menegaskan, setiap ahli parti berkenaan harus berasa bersyukur dengan perkembangan politik semasa yang kini lebih seimbang.

Jelasnya, penyertaan seseorang individu dalam parti sepatutnya tidak bersifatkan inginkan keistimewaan khas seperti yang diamalkan oleh parti pemerintah terdahulu.


“Setiap ahli PKR perlu sentiasa bersedia membantu kerajaan PH melaksanakan janji-janji yang digariskan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 yang lepas.

“Kita perlu tahu mengapa diri kita menyertai parti ini iaitu memberi sokongan dan perkhidmatan kepada rakyat yang memerlukan, bukannya atas untuk kepentingan diri,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Mukah di sini.

Abdul Jalil menambah, beliau juga berharap semua ahli yang lama supaya terus mengekalkan kesetiaan kepada PKR.

Manakala ujarnya, bagi ahli-ahli baharu pula, mereka tidak harus menjauhkan diri daripada rakan-rakan seperjuangan dalam membantu rakyat di peringkat akar umbi.

“Setiap ahli perlu mengalu-alukan penyertaan ahli-ahli baharu dengan memantapkan kekuatan dan semangat dalam memperjuangkan hak-hak rakyat Sarawak.

“Persefahaman dan perpaduan dalam kalangan ahli-ahli parti juga penting bagi memastikan setiap rancangan dapat berjalan dengan lancar,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan setiap ahli parti tersebut supaya tidak memandang mudah keupayaan ahli-ahli Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Ingat, setiap ahli PKR harus sedia setiap masa dengan cabaran daripada GPS dalam pilihan raya negeri akan datang,” katanya lagi. — DayakDaily