Sembunyi rokok dan mercun di kedai makan

Rokok dan mercun yang dirampas dalam operasi tersebut.

BAU, 26 Julai: Sebuah kedai makan diserbu dan didapati menyembunyikan pelbagai jenis rokok dan mercun dianggarkan bernilai RM22,000 di Jalan Bau-Kuching semalam.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bau itu dilakukan pada jam 2.15 petang.

Katanya, dipercayai kesemua rokok dan mercun tersebut tidak lulus cukai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).


“Hasil pemeriksaan di bahagian belakang dalam kedai telah menjumpai pelbagai jenis rokok dan mercun yang disyaki tidak lulus cukai,” katanya dalam satu kenyataan.

Seorang suspek dipercayai penjaga premis turut ditangkap untuk membantu siasatan.

Kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum 10 kali ganda nilai atau RM100,000 jika disabitkan kesalahan.

Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya. — DayakDaily