KUCHING, 19 Feb: Empat pegawai imigresen ditahan di Bintulu disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan warga asing.
Ketua Pengarah Imigresen Dato Sri Khairul Dzaimee Daud berkata, sindiket mengatur pergerakan masuk warga asing yang telah disenarai hitam dengan dibantu oleh pegawai imigresen.
“Seramai 33 orang warga asing telah ditahan semasa pemeriksaan terhadap dua buah bas dilakukan di sekitar bandar Bintulu.
“Sindiket menguruskan seramai 30 hingga 40 orang bagi setiap kali kemasukan.
“Pegawai imigresen ini akan menurunkan cap keselamatan ke atas passport warga asing berkenaan bagi memastikan perjalanan mereka selamat sampai ke destinasinya,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsi oleh laman Facebook rasmi Jabatan Imigresen Malaysia hari ini.
Tambah Khairul, warga asing yang telah mendapat cap keselamatan ini seterusnya akan dibawa ke rumah-rumah transit sebelum ke lapangan terbang.
Katanya, mereka akan meneruskan perjalanakan ke Semenanjung Malaysia melalui laluan domestik.
“Sindiket ini telah beroperasi hampir lapan bulan yang lalu iaitu apabila pintu sempadan negara di buka.
“Warga asing yang hendak masuk ke Malaysia dikenakan bayaran sekitar RM5,000 ke RM6,000 seorang kepada sindiket.
“Sindiket ini dipercayai mengaut keuntungan sekitar RM80,000 sebulan,” ujar Khairul. — DayakDaily