Seludup PATI guna lori tanker minyak sawit

PATI yang ditahan dalam operasi tersebut.
Advertisement

SERIAN, 12 Ogos: Seorang lelaki tempatan ditangkap dalam cubaannya menyeludup masuk empat pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan sebuah treler (tanker) minyak sawit di Jalan Serian-Sri Aman awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata anggotanya bersama sepasukan polis dari ‘Task Force’ Skuadron Perisai 11, Briged Sarawak telah menahan treler tersebut sekitar jam 8.15 pagi untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati lori tersebut yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berumur 34 tahun.

Advertisement

“Didapati juga seramai empat warga Indonesia terdiri daripada dua lelaki berusia 30 dan 48 tahun dan dua wanita berusia 27 dan 48 tahun.

“Keempat-empat warganegara Indonesia ini gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, kesemua PATI tersebut disyaki telah memasuk ke Sarawak melalui jalan tikus.

Dedah Aswandy juga, tujuan keempat-empat PATI tersebut adalah untuk dihantar ke ladang sawit Selangau.

Kesemua suspek telah ditahan dan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Serian untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63. — DayakDaily

Advertisement