KUCHING, Sept 22: Sarawak menerima baik pengumuman sukan angkat berat akan dipertandingkan semula pada Sukan Malaysia (Sukma) Johor, tahun depan.
Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan berkata ia satu berita baik kerana Sarawak sememangnya memiliki pasukan angkat berat yang mantap.
“Kita yakin boleh memenangi pingat dalam acara angkat berat dan pasukan angkat berat Sarawak memiliki pencapaian yang konsisten,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media setelah merasmikan penutupan Kejohanan E-Sukan Kampus Semester 2 Zon Borneo di Dewan Arena Gemilang, DeTAR Putra, Universiti Malaysia Sarawak hari ini.
Berita itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma 2020, Sept 19 lepas.
Keputusan ini dibuat kerana sukan angkat berat menunjukkan perkembangan positif apabila tidak lagi dikaitkan atau namanya kini bersih daripada masalah skandal ‘doping’.
Selain itu, Snowdan juga berharap acara taekwando turut dipertandingkan pada Sukma Johor 2020.
Katanya, taekwando juga mampu menambah pungutan pingat buat kontinjen Sarawak nanti.
“Taekwando adalah satu lagi acara yang sering menghadiahkan pingat buat Sarawak.
“Satu mesyuarat berhubung status acara taekwando akan diadakan di Johor Bahru dan kita berharap acara tersebut disenarai pada Sukma Johor tahun depan,” katanya.
Beliau memaklumkan yang 31 acara termasuk angkat berat bakal dipertandingkan nanti dan jika taekwando tersenarai, jumlah kesemua acara adalah 32 acara.
Mengulas mengenai e-sukan, Snowdan berkata acara tersebut akan turut dipertandingkan pada Sukma Johor nanti dan menawarkan lima pingat emas.
Ujar beliau, e-sukan memberi peluang kepada belia-belia mengambil bahagian di dalam permainan masa kini dan ia bertepatan dengan usaha kerajaan melangkah ke era digital.
“Kita dalam peralihan menuju ke era digital dan e-sukan adalah sebahagian daripadanya.
“Kerajaan pusat telah mengiktiraf e-sukan dengan peruntukan RM10 juta untuk pembangunan sukan ini,” katanya. — DayakDaily