Sektor swasta bantu promosi taman negara — Abang Johari

Abang Johari (dua dari kanan) melancarkan Sambutan Ulang Tahun ke-16 SFC di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Dis 2: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mahukan penglibatan sektor swasta di dalam pembangunan taman-taman negara.

Katanya, penglibatan sektor swasta penting untuk membantu usaha mempromosi kesemua taman negara yang terdapat di Sarawak.


“Di dalam pengurusan taman-taman negara, aset adalah kepunyaan kerajaan negeri.

“Mungkin kita boleh lihat kemungkinan membawa sektor swasta terlibat sama dalam operasi taman negara.

“Sektor swasta sangat bagus di dalam bidang pemasaran dan mencari pasaran baharu, dan saya mahukan SFC melihat akan kemungkinan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan di Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Ke-16 Sarawak Forestry Corporation (SFC) di sini, malam tadi.

Tambah beliau, kerja-kerja pemelihara taman-taman negara adalah tanggungjawab SFC dan kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan untuk kerja-kerja membaikpulih infrastruktur.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk mempromosi bidang pelancongan budaya dan alam semulajadi di negeri ini.

“Saya yakin ia akan membawa pendapatan kepada negeri,” katanya sambil berkata Taman Negara Bako, Semenggoh dan Niah akan diberi keutamaan untuk dibaikpulih.

Mengulas isu lain, Abang Johari berkata kerajaan negeri melalui SFC pada masa sekarang sedang giat melakukan penanaman semula pokok-pokok.

Katanya, ia adalah sebahagian dari objektif kerajaan negeri dalam menangani masalah perubahan cuaca dunia.

Oleh yang demikian, tambah beliau, kerajaan negeri melaksanakan kerja-kerja penanaman semula dengan menggunakan pokok yang cepat tumbuh.

“Dan SFC mesti memberi fokus kepada usaha ini untuk menuju ke arah pertumbuhan hijau.

“Hutan menyumbang kepada aktiviti ekonomi yang penting tetapi ia haruslah seimbang.

“Kita mesti mengalakkan semua pemain industri untuk melakukan penanaman semula,” katanya.

Turut hadir Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh. —DayakDaily