KUCHING, 21 Mei: Prestasi Sektor Perdagangan dan Pengedaran bagi sepanjang bulan Februari 2022 telah merekodkan nilai jualan berjumlah RM48.8 billion.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi, statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia itu menyaksikan pertumbuhan sebanyak 10.2 peratus berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.
“Pencapaian ini dijangka dapat ditingkatkan lagi dengan pelbagai inisiatif yang diambil Kementerian terutama menerusi Program Jualan Malaysia (PJM) sepanjang Tahun 2022 dengan memberi penekanan kepada segmen musim perayaan utama Keluarga Malaysia,” katanya.
Nanta berkata demikian di Majlis Pelancaran PJM “Rancak Hari Gawai” yang berlangsung selama 2 hari pada 21 Mei 2022 dan 22 Mei 2022 serentak di Song dan Kapit hari ini.
Tambah Nanta yang juga MP Kapit, PJM “Rancak Gawai” melibatkan penyertaan lot tapak perniagaan menjual pelbagai produk makanan, minuman, pakaian, perabot, aksesori, hiasan dalaman dan sebagainya.
Katanya, ia seiring dengan kerancakan persiapan sambutan Hari Gawai dengan tema “Rancak Sini, Rancak Sana, Sepanjang Masa Seluruh Negara!” yang telah disesuaikan dengan suasana dan cita rasa tempatan “Gayu Guru Gerai Nyamai”.
“PJM ini juga secara langsung menyokong usaha pemulihan ekonomi yang sedang diusahakan oleh KPDNHEP menerusi sektor perdagangan, pengedaran dan peruncitan.
“Ia berteraskan konsep 3R iaitu Recovery (pemulihan), Revive (menghidupkan semula) dan Revitalise (merancakkan) yang dijangka menjana dan menyumbang kepada sasaran nilai jualan sebanyak RM500 bilion menjelang akhir tahun ini,’ ujar Nanta. — DayakDaily