Sekolah Rendah Agama Abdul Kadir Hassan II dinaiktaraf menjadi sekolah Islam antarabangsa pertama di Sarawak

Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 18 Feb: Sekolah Rendah Agama Abdul Kadir Hassan II di Jalan Sultan Tengah bakal menjadi sekolah Islam antarabangsa yang pertama di Sarawak.

Menteri Muda Hal Ehwal Islam Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata ia akan memulakan operasi pada tahun 2023.


“Kerajaan negeri bercadang untuk membina sebuah sekolah Islam antarabangsa yang berkonsepkan sistem pendidikan Madrasah Al-Junied di Singapura.

“Madrasah Al-Junied telah ujud semenjak tahun 50-an dan sebahagian daripada pemimpin Islam kita belajar di madrasah tersebut,’katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Kolokium Keagungan Al-Quran yang diadakan di Dewan Kompleks Islam Sarawak di sini, hari ini.

Tambah beliau, sekolah itu nanti akan menggunakan sistem pembelajaran antarabangsa dan pelajarnya juga akan dihantar ke Universiti Oxford serta Cambridge sebagaimana Madrasah Al-Junied.

Beliau yang juga Menteri Muda Bekalan Air menambah, sekolah itu akan menggunakan dua bahasa penghantar iaitu Bahasa Inggeris dan Arab.

“Seterusnya sebuah sekolah menengah juga akan dinaiktaraf menjadi sekolah Islam antarabangsa,”katanya. —DayakDaily