Sekolah Antarabangsa lahirkan anak Sarawak bertaraf jaguh dunia – Abang Johari

Abang Johari (duduk tengah) merakamkan kenangan bersama pelajar SM Sains Utara Kuching yang mencatatkan keputusan cemerlang SPM 2021.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 25 JUN: Kewujudan Sekolah Antarabangsa dengan sukatan silibus Cambridge bakal melahirkan anak Sarawak yang bertaraf jaguh dunia di dalam bidang tertentu, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Sekolah Antarabangsa ini akan melahirkan anak-anak yang memiliki satu standard yang tinggi.


“Maka dapat kita tempatkan anak-anak ini di universiti tersohor di dunia, dan apabila pengajian tamat, mereka adalah di kalangan yang boleh bersaing dengan dunia.

“Bukan jaguh kampung tetapi jaguh dunia yang telah kita lahirkan,” katanya dalam ucapan perasmian Expo Pendidikan Sarawak di Dewan Jamilah di Yayasan Sarawak hari ini.

Menurut Abang Johari, seorang pelajar dari SMK Green Road telah berjaya memasuki Universiti Harvard, iaitu sebuah universiti tersohor di dunia.

Selepas SPM katanya, pelajar tersebut melanjutkan pelajaran di Singapura dan memperoleh keputusan cemerlang.

“Beliau lulus dan disebabkan standardnya tinggi di Singapura, pelajar tersebut diterima untuk melanjutkan pengajian di Universiti Harvard.

“Oleh sebab itu, kita mewujudkan Sekolah Antarabangsa agar dapat menempatkan anak-anak kita ke universiti tersohor di dunia,” katanya.

Dalam ucapan yang sama, Abang Johari berkata Kerajaan telah mewujudkan kemudahan pendidikan dari peringkat sekolah rendah, menengah dan seterusnya ke institut pengajian tinggi untuk anak-anak Sarawak.

Yayasan Sarawak yang ditubuhkan pada tahun 1970-an pula, katanya, telah memberikan bantuan kewangan kepada pelajar yang kurang berkemampuan.

“Mula-mula kita hantar anak-anak kita ke Semenanjung Malaysia iaitu di sekolah-sekolah asrama dan hari ini kita dapat melihat kesannya.

“Banyak pemimpin kita telah berjaya melalui skim Yayasan Sarawak, kita ada doktor dan menteri yang keluar skim ini,” ujarnya.

Tambah Abang Johari lagi, dahulu anak-anak Sarawak bergantung kepada Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Sekarang katanya, Sarawak sudah ada universiti sendiri seperti Swinburne Sarawak, Curtin Sarawak, Universiti Teknologi Sarawak, Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (i-CATS) dan Pusat Kecemerlangan Teknikel Sarawak (CENTEXS).

“Inilah kemudahan yang ada, maka anak-anak kita dapat meneruskan pengajian dan harus melihat peluang dengan jurusan yang relevan dengan pembangunan yang berlaku di negeri ini.

“Kalau terlalu banyak dari sosial sains kemungkinan kita menghadapi masalah di mana graduan tiada pekerjaan, kerana peluang pekerjaan dari sudut ini kurang.

“Tetapi kalau jurusan yang membolehkan kita bekerja di sudut teknikel dan kepakaran seperti kejuruteraan dan sekuriti siber, kita dapat melahirkan golongan yang memiliki kepakaran serta inovatif yang sealiran dengan kehendak semasa,” katanya. — DayakDaily