Sekitar 100 projek telah dilaksanakan di Kota Samarahan sejak 2018 — Rubiah

Datuk Rubiah Wang (file photo)

KUCHING, 10 Okt: Kerjasama erat di antara rakyat dan kerajaan Negeri sejak 2018 telah berjaya melaksanakan pelbagai projek di Sarawak.

Menurut MP Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang, dalam tempoh itu sekitar 100 projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP), Projek-Projek Khas Peruntukan Perdana Menteri, projek pembangunan yang dibiayai oleh Agensi Pembangunan Bersepadu Bahagian Samarahan (IRSDA) telah dilaksanakan.

“Dalam liku-liku yang mencabar itu kita bersyukur kerana kerajaan Sarawak sentiasa memberikan sokongan dan dukungan yang penuh kepada Ahli-Ahli Parlimen dari Sarawak.


“Sokongan ini untuk meneruskan agenda-agenda pembangunan di kawasan masing-masing menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang diteruskan di bawah kerajaan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rubiah merujuk kepada pengumuman Perdana Menteri yang telah mengesahkan bahawa Parlimen Malaysia bagi penggal yang ke-14 telahpun dibubar secara rasminya pada hari ini 10 Oktober 2022.

Serentak dengan pengumuman itu katanya, berakhirlah tugas beliau sebagai Ahli Parlimen di Kota Samarahan untuk penggal kali ini.

“Sesungguhnya penggal ini merupakan penggal yang paling mencabar kerana bukan sahaja pada awalnya kita bergerak sebagai Ahli Parlimen pembangkang.

“Malahan berlakunya ketidakstabilan politik dalam negara sehingga buat pertama kalinya kita perlu melantik tiga orang Perdana Menteri yang berbeza-beza dalam tempoh penggal yang sama,” ujar Rubiah. — DayakDaily