Sejumlah 1,048 sekolah rendah di Sarawak laksana DLP mulai 2020

Amin (tiga dari kanan) menerima modul buku teks Sains dan Matematik Tahun 1 dalam Bahasa Inggeris dari Azhar di Majlis Pelancaran DLP Sarawak hari ini (Dis 2, 2019).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Dis 2: Sejumlah 1,048 sekolah rendah di seluruh Sarawak terlibat dalam pelaksanaan ‘Dual Language Programme’ (DLP) mulai sesi persekolahan tahun 2020.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Amin Senin berkata, pelaksanaan ini bersesuaian dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) untuk tempoh 2013-2025.


“Dengan pelaksanaan DLP Sarawak, semua murid Tahun 1 akan belajar mata pelajaran bidang Sains dan Matematik menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya.

“Ia untuk memastikan setiap murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris selari dengan usaha kerajaan negeri Sarawak untuk memacu ekonomi negeri, sekaligus membantu mencapai status negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya pada Majlis Pelancaran DLP Sarawak di sini, hari ini.

Tambah Amin, DLP Sarawak merupakan inisiatif yang memberi peluang kepada murid untuk meningkatkan akses bagi penerokaan pelbagai bidang ilmu untuk bersaing di peringkat global.

Di samping itu, katanya, ia memberi peluang meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris murid dan kerajan negeri Sarawak merupakan negeri yang pertama menyahut cabaran DLP.

“Model pelaksanaan DLP Sarawak akan menjadi penanda aras kepada negeri-negeri lain yang berhasrat untuk melaksanakannya pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Pendidikan Sarawak, Dr Azhar Ahmad pada ucapan aluan berkata latihan guru Sains dan Matematik untuk DLP Sarawak telah dijalankan sepanjang bulan September hingga Oktober 2019.

Katanya, ia melibatkan seramai 2,435 orang guru dan fasilitator yang terdiri daripada 184 orang pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus seluruh Malaysia.

“Dua fokus utama dalam tatacara pengoperasian iaitu, yang pertama, DLP Sarawak akan dimulai dengan murid Tahun 1 di sekolah rendah dan diteruskan sehingga murid menamatkan persekolahan Tingkatan 5.

“Kedua, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) diberi pengecualian menyertai DLP Sarawak.

“Walau bagaimanapun, SJKC yang berminat menyertai program boleh memohon kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak,” ujar Azhar. — DayakDaily