Segera tangani masalah bekalan air di Pusa dan Beladin — Adun Beting Maro

File photo for illustration purposes only.

KUCHING, 2 Mei: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beting Maro Razaili Gapor menggesa pihak berwajib agar menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air bersih yang menjejaskan kawasan Pusa dan Beladin.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Razaili juga mahukan masalah air paip tidak berfungsi dengan baik di kawasan tersebut diselesaikan.

Ujarnya, masalah kekurangan bekalan air bersih yang dihadapi penduduk Kampung Pusa dan Beladin telah berlaku sebelum menjelang Syawal lagi hingga ke hari ini.


“Penduduk Kampung Beladin mahupun Pusa amat kecewa kerana kawasan ini tidak mempunyai bekalan air bersih serta terpaksa memerlukan tadahan air hujan.

“Perkara ini amat menyukarkan penduduk di kawasan ini untuk melakukan sebarang aktiviti terutama semasa musim perayaan.

“Pusa dan Beladin merupakan kampung yang mempunyai penduduk yang ramai. Justeru mereka merayu agar masalah ini dapat diselesaikan secepat yang mungkin,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin (1 Mei).

Razaili juga memohon agar pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Betong membuat mesyuarat khas untuk memberi maklumat terperinci kepada Ketua Masyarakat Dan Ketua Kaum (KMKK) supaya dapat disampaikan kepada masyarakat setempat.

Tegas beliau ia penting kerana terdapat beberapa penduduk sering menyalahi pihak kerajaan mahupun wakil rakyat di kawasan ini seolah-olah mereka tidak peduli dan tidak dapat menyelesakan masalah tersebut.

“Perkara ini amat menyedihkan walaupun pihak JBALB telah berusaha mengatasi masalah ini. Namun, masalah ini masih belum diatasi dengan baik.

“Mohon perkara ini mendapat perhatian pihak menteri, agensi yang berkaitan agar masalah ini dapat diatasi dengan baik agar ianya tidak menjadi isu berpanjangan,” ujar beliau lagi. — DayakDaily