Penubuhan bank komersil Sarawak beri manfaat kepada PKS

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan

KUCHING, 2 Mei: Cadangan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menubuhkan sebuah bank komersil buat Negeri ini akan memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penubuhan bank komersil tersebut bakal menyediakan kemudahan untuk golongan PKS termasuk bagi melakukan sebarang pinjaman.

“Kalau (cadangan) ini dapat dilaksanakan, ia sudah tentu akan memberi banyak bantuan dan kemudahan untuk kita mengembangkan lagi PKS di sini.


“Sekarang ini, kalau kita hendak memohon pinjaman, kadangkala jumlah tertentu perlu mendapat kelulusan pihak ibu pejabat di Kuala Lumpur dan ia bukannya mudah, akan mengambil masa panjang.

“Jadi, kalau kita mempunyai bank komersil sendiri, ia mudah untuk kita, salah satu daripadanya untuk membantu PKS kita,” katanya ketika berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Miri di sini pada Isnin (1 Mei).

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan menambah, sejak penubuhan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), kerajaan Negeri telah dapat melaksanakan pelbagai projek strategik menerusi kaedah pembiayaan alternatif.

Beliau yakin penubuhan sebuah bank komersil turut akan memberikan banyak manfaat kepada Sarawak nanti.

Dalam majlis tersebut, juga diadakan penyerahan duit raya kepada 60 anak yatim serta penyerahan surat lot kediaman baharu kepada lapan ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat kejadian kebakaran di Jalan Pujut Corner pada 23 April lepas. — DayakDaily