‘Segera selesaikan pertikaian maritim Malaysia dengan negara jiran’ – Dr Yii

Dr Kelvin Yii

KUCHING, 9 Julai: Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii menggesa kerajaan, melalui kementerian berkaitan, untuk menyelesaikan isu pertikaian maritim dengan negara jiran.

Katanya, masalah-masalah yang berpunca dari isu tersebut juga dihadapi nelayan-nelayan di Sarawak.

“Saya cuma ingin membangkitkan masalah-masalah yang dihadapi oleh nelayan-nelayan di kawasan saya. Kita tahu kebanyakan masalah ini kronik dan memerlukan kerjasama antara pelbagai kementerian,” katanya ketika perbahasan di Parlimen hari ini.


Dr Yii berharap Kementerian Pertahanan, Kementerian Pertanian, Kementerian Dalam Negeri dan juga Kementerian Luar Negara berkerjasama mencari jalan penyelesaian.

Katanya, satu persetujuan atau permahaman harus dicapai antara negara-negara jiran termasuk Indonesia berkenaan “disputed waters”.

Tambah beliau isu tersebut bukan saja membawa kesan kepada nelayan, tetapi juga industri perikanan Malaysia secara menyeluruh.

“Sekarang seperti terdapat dua peta yang mempunyai tafsiran yang berbeza.

“Baru-baru ini, ada dua bot dari Sarawak telah ditahan kerana dikatakan menyeberangi sempadan Indonesia, padahal mengikut koordinat yang ada masa tahanan jelas menunjukkan bot tersebut masih berada di perairan Malaysia,” ujarnya.

Dr Yii percaya kerajaan Indonesia telah memasang satu radar canggih di satu pulau kecil di utara Pulau Natuna di kawasan Laut Natuna (dekat Sarawak) dan ia dapat mengesan bot-bot yang datang termasuk bot Malaysia.

“Mereka akan datang dengan cepat untuk menahan bot kita walaupun kawasan tersebut adalah kawasan pertikaian atau ‘zon tuntutan’ antara Malaysia-Indonesia,” dakwa beliau.

Di samping itu, Dr Yii berkata kegiatan maritim Indonesia adalah aktif dalam menguatkuasakan tuntutan kawasan lautan mengikut tafsiran sempadan pihak negara tersebut.

“Oleh itu, kekeliruan tersebut haruslah diselesaikan secepat mungkin kerana pihak Indonesia mungkin akan membuat tuntutan lebih terhadap kawasan di perairan Laut China Selatan, terutamanya berdekatan Sarawak, jika mereka memindahkan ibukota mereka ke Kalimantan,” katanya. — DayakDaily