Sebuah rumah lama terbakar 100 peratus, manakala sebuah lagi terjejas 20 peratus

Anggota bomba sedang melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

MIRI, Jun 26: Sebuah rumah lama yang dijadikan stor musnah terbakar sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran di Jalan Kampung Tudan di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 10.35 pagi itu turut mengakibatkan sebuah rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) turut terjejas kira-kira 20 peratus melibatkan bahagian bilik tidur.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakarn itu pada pukul 10.37 pagi.

Jelasnya, 15 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng dan BBP Miri telah diarahkan ke lokasi kejadian bagi melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Apabila di tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar rumah berstruktur jenis tidak kekal itu.

“Api marak dengan pantas disebabkan struktur rumah berkenaan diperbuat daripada bahan mudah terbakar.

“Pasukan bomba kemudian bertindak membuat pemadaman dan penyelamatan serta berjaya menghalang kemerebakan api dengan menyelamatkan sebuah rumah PPRT yang berada di hadapan rumah stor tersebut yang terbakar kira-kira 20 peratus,” katanya di sini hari ini.

Law menambah, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 11.20 pagi dan operasi ditamatkan lima minit kemudian.

Katanya, pemeriksaan mendapati kebakaran itu tidak melibatkan sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa berlaku.

“Seramai tujuh penghuni yang menetap di kediaman PPRT terjejas akibat kejadian tersebut.

“Buat masa ini, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian berkenaan,” ujarnya lagi. — DayakDaily