Lelaki berdepan detik cemas, kereta dipandu terbabas dalam parit

Anggota bomba membantu mangsa yang cedera selepas kereta dipandu terbabas masuk ke dalam parit.

KUCHING, Jun 26: Seorang lelaki berdepan detik mencemaskan apabila kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit di Jalan RPR Batu Kawa di sini hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 7.25 pagi itu, mangsa yang memandu kereta Perodua Kancil hanya mengalami kecederaan ringan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang, Arisa Arshad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.26 pagi.


Katanya, seramai 10 anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi insiden bagi melakukan kerja-kerja susulan.

“Sebaik sampai di tempat kejadian, anggota bomba mendapati mangsa masih berada di dalam kereta dalam keadaan selamat, namun hanya mengalami kecederaan ringan.

“Pasukan Kecemasan, Perubatan, Tindak Balas dan Perkhidmatan (EMRS) kemudian memberi rawatan awal kepada mangsa,” katanya di sini hari ini.

Arisa menambah, selepas menerima rawatan awal, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.

Ujarnya, pasukan bomba kemudian bertindak memastikan keadaan di lokasi kejadian terkawal sebelum berangkat balik ke balai.

“Mangsa yang cedera dilaporkan dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak,” katanya. — DayakDaily