Sebuah rumah dua tingkat terbakar, penghuni tiada semasa kejadian

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

BINTANGOR, April 25: Sebuah rumah dua tingkat di Sungai Kijang di sini terbakar hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 1 petang itu mengakibatkan rumah separuh kekal berkenaan terbakar kira-kira 80 peratus.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 1.14 petang.

Katanya, sejurus itu sepasukan lapan anggota bomba dari BBP Bintangor bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak kediaman berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada penghuni di dalam kediaman tersebut,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, semasa kejadian penghuni rumah tersebut berada di Miri.

“Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada pukul 2.48 petang.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily