Pasukan bomba terus padam kebakaran di kawasan sempadan Brunei-Sarawak

Anggota bomba sedang berusaha memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

MIRI, April 25: Pasukan Bomba dan Penyelamat Miri terus melakukan operasi memadam kebakaran kawasan belukar, tanah gambut dan hutan berhampiran kawasan sempadan Brunei-Sarawak di sini hari ini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, seluas kira-kira 120 ekar kawasan berkenaan dilaporkan terbakar setakat ini.

Katanya, kebakaran itu juga telah merebak ke kawasan Ladang Borneo Agro Plantation Industrial, Kuala Baram di sini.

Anggota bomba sedang berusaha memadam kebakaran.

“Operasi memadam kebakaran yang memasuki hari keempat itu telah dimulakan pada pukul 10 pagi.

“Kerja-kerja pemadaman itu telah menggunakan dua buah pam angkut melalui air terbuka yang terdapat di lokasi dengan menggunakan water monitor dan hos 600 kaki,” katanya di sini hari ini.

Law menambah, tiada litupan GIRN di tempat kejadian, manakala talian telefon hanya dapat dihubungi di tempat yang tertentu sahaja.

“Pasukan bomba mengguna RA (radio amatur) untuk berkomunikasi sesama pasukan pemadam dan bilik kawalan.

“Operasi memadam kebakaran ini akan disambung semula esok,” katanya. — DayakDaily