Sebuah rumah dan dua kereta milik tiga sekeluarga terbakar

Kelihatan sebuah kereta yang turut terbakar.

KUCHING, Julai 22: Tiga sekeluarga di Kampung Rampangi bukan sahaja terjejas akibat kediaman didiami terbakar, bahkan dua kereta milik mereka turut terbakar manakala sebuah lagi dihempap bumbung rumah itu dalam satu kebakaran awal pagi tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 5.08 pagi itu, tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Komander Operasi Kanan, Ardillah Supardi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.09 pagi.


Jelasnya, sejurus menerima panggilan kecemasan, sepasukan 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya telah bergegas ke tempat kejadian.

“Sepasukan 11 anggota bomba dari BBP Padungan juga dikerahkan ke lokasi untuk membantu kerja-kerja memadam kebakaran.

“Apabila tiba di kampung berkenaan, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar rumah dua tingkat berstruktur jenis kekal di situ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Anggota bomba sedang berusaha memadam kebakaran.

Ardillah menambah, pemeriksaan lanjut mendapati dua buah kenderaan turut terbakar iaitu sebuah Proton Wira Aeroback musnah terbakar 100 peratus, manakala Perodua Kenari musnah terbakar 50 peratus.

Katanya, sebuah Perodua Viva pula mengalami kerosakan akibat dihempap bumbung rumah.

“Pihak bomba bertindak membuat operasi pemadaman dan api berjaya dikawal pada pukul 5.32 pagi.

“Buat masa ini punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian masih dalam proses siasatan,” ujarnya. — DayakDaily