Pekerja ladang sawit hilang tempat tinggal sekelip mata akibat kebakaran

Kelihatan sebuah rumah pekerja yang musnah terbakar.

MIRI, Julai 22: Para pekerja ladang sawit di Suai, Niah di sini kehilangan tempat tinggal dalam sekelip mata selepas sebuah rumah pekerja di situ musnah terbakar malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Jurucakap bomba berkata, pihaknya hanya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 11.37 malam.

Katanya, meskipun sudah lewat menerima maklumat kebakaran tersebut, pasukan bomba tetap bergegas ke tempat kejadian untuk memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku.

“Apabila tiba komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan satu blok kuarters pekerja berjumlah lima pintu jenis berstruktur tidak kekal.

“Semasa kebakaran berlaku tiada penghuni di tempat kejadian kerana semua pekerja ladang dikatakan balik bercuti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jurucakap bomba menambah, pasukan bomba kemudian bertindak membuat pemantauan di sekitar bagi memastikan api padam sepenuhnya.

Katanya, operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 3.50 pagi.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi disiasat,” katanya. — DayakDaily