Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran

Pasukan bomba berusaha melakukan operasi memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

MIRI, Dis 10: Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di Kampung Riam Jaya di sini musnah terbakar, hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi itu, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku.


Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 8.16 pagi.

Jelasnya, sejurus itu, sepasukan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar sebuah rumah dua tingkat jenis struktur tidak kekal di situ.

“Pasukan bomba kemudian segera melakukan kerja-kerja memadam kebakaran bagi memastikan keadaan terkawal,” katanya di sini hari ini.

Law menambah, anggota bomba menggunakan menggunakan sumber air dari jentera untuk memadamkan kebakaran tersebut.

“Buat masa ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu masih lagi dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily