Sebuah keluarga hilang tempat tinggal, rumah didiami terbakar

Anggota bomba sedang melakukan operasi memadam kebakaran.

SIBU, Jun 16: Sebuah keluarga hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka terbakar dalam satu kebakaran di Jalan Ding Lik Kong di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.10 malam itu, sebuah rumah teres dua tingkat telah terbakar 100 peratus.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah, Joseph Dea berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran tersebut pada pukul 11.11 malam.

Ujarnya, sepasukan enam anggota bomba kemudian diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Lapan anggota bomba dari BBP Sibu Sentral juga berada di lokasi kejadian untuk membantu operasi tersebut.

“Tindakan pantas pasukan bomba telah berjaya menghalang kemerebakan api ke kawasan rumah berhampiran,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Joseph memberitahu, pemeriksaan lanjut mendapati tiada ahli keluarga yang mendiami kediaman berkenaan cedera.

Katanya, keluarga terbabit berjaya keluar menyelamatkan diri, namun tidak sempat menyelamatkan barang-barang serta dokumen penting.

“Buat masa ini punca kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan,” katanya. — DayakDaily