12 sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, rumah didiami musnah terbakar

Kelihatan anggota bomba berusaha memadam kebakaran.

KUCHING, Jun 16: Malang menimpa 12 sekeluarga apabila kediaman mereka Lorong Bungai Kemuning 5 Matang di sini musnah terbakar awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 1.28 pagi itu mengakibatkan sebuah rumah satu tingkat musnah terbakar 100 peratus.

Komander Operasi, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran tersebut pada pukul 1.29 pagi.


Katanya, 12 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dan lapan anggota bomba dari BBP Padungan kemudian diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Apabila sampai, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar kediaman berkenaan.

“Api marak dengan cepat kerana kediaman itu diperbuat daripada bahan-bahan mudah terbakar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

John Sagun menambah, tiada laporan kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Ujarnya, semasa kebakaran berlaku penghuni tiada berada di rumah berkenaan.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kebakaran tersebut masih dalam proses siasatan,” katanya lagi. — DayakDaily