Sebuah keluarga hilang tempat tinggal akibat kebakaran

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran.
Advertisement

Oleh Dean Adam

ASAJAYA, Feb 4: Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di Kampung Sebandi Ulu di sini musnah terbakar, hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 9.10 pagi itu mengakibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal dua tingkat terbakar 100 peratus.

Advertisement

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 9.12 pagi.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar kediaman berkenaan.

“Anggota bomba kemudian bertindak membuat operasi memadam kebakaran bagi memastikan api tidak merebak ke kawasan berhampiran,” katanya di sini hari ini.

Tambah jurucakap sama, pemeriksaan lanjut mendapati penghuni rumah berkenaan selamat.

Katanya, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu masih lagi dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily

Advertisement