Lelaki nyaris maut, kereta terbalik dan terbakar

Anggota bomba sedang memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

SIBU, Feb 4: Seorang lelaki nyaris maut selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu terbalik dan terbakar di Jalan Sibu-Durin di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu mengakibatkan kereta mangsa jenis Proton Saga musnah terbakar.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mangsa pula dilaporkan cedera di beberapa bahagian badannya.

Katanya, pemandu kenderaan tersebut telah dikeluarkan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian sebelum kehadiran pasukan bomba.

“Mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Kebakaran telah memusnahkan 100 peratus kenderaan milik mangsa,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, operasi tersebut ditamatkan pada pukul 10.50 pagi. — DayakDaily