Sebuah keluarga hilang rumah sekelip mata akibat kebakaran

Kelihatan anggota bomba berusaha memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

SEMATAN, Dis 3: Malang menimpa sebuah keluarga di Kampung Pueh di sini apabila rumah didiami mereka musnah terbakar, hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 7.35 pagi itu mengakibatkan sebuah rumah jenis struktur tidak kekal musnah 100 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu, Zainuddin Ngatdemon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 7.37 pagi.

Jelas beliau, sejurus itu, sepasukan lapan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.


“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar rumah berkenaan.

“Tidak cukup itu, sebuah motosikal jenis Kris Modenas turut musnah terbakar akibat kebakaran berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Zainuddin menambah, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua penghuni rumah berkenaan berjaya keluar menyelamatkan diri.

Katanya, operasi memadam kebakaran tamat sepenuhnya pada pukul 8.40 pagi.

“Buat masa ini, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu,” jelasnya. — DayakDaily