LIMBANG, Mei 21: Sebuah keluarga hilang kediaman dalam sekelip mata apabila rumah didiami mereka di Kampung Buluh Balui musnah dalam satu kejadian kebakaran hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 pagi itu, sebuah rumah dua tingkat jenis struktur separuh kekal telah musnah terbakar 100 peratus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Limbang, Tawang Lingem berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada pukul 6.47 pagi.
Jelasnya, sejurus menerima laporan itu, tujuh anggota bomba bersama sebuah jentera pemadam telah ke lokasi untuk melakukan operasi memadam kebakaran.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar kediaman itu.
“Anggota bomba kemudian bertindak menjalankan kerja-kerja operasi memadam kebakaran bagi mengawal keadaan itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Tawang memberitahu, kebakaran tersebut terkawal sepenuhnya pada pukul 7.54 pagi.
Katanya, siasatan awal mendapati tiada mangsa yang cedera kerana semasa kejadian, semua penghuni tiada di situ.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan,” katanya. — DayakDaily