Sebuah keluarga cemas, ular tiba-tiba memasuki rumah

Pasukan bomba sedang berusaha menangkap seekor ular.

Oleh Dean Adam

MIRI, Mei 25: Sebuah keluarga berdepan dengan detik mencemaskan apabila seekor ular tiba-tiba memasuki rumah mereka di Ocean Park di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan ular itu pada pukul 9.47 pagi.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat penemuan reptilia itu untuk melakukan operasi khas menangkap ular.

Kelihatan seekor ular yang bersembunyi di ruang tamu.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati terdapat seekor ular masih berada di ruang tamu rumah berkenaan. Anggota bomba segera menangkap ular itu dengan menggunakan alat penjerut bagi memerangkap reptilia berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, pasukan bomba mengambil masa kira-kira sembilan minit untuk menangkap ular tersebut.

“Operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 10.07 pagi,” katanya. — DayakDaily