Oleh Dean Adam
BINTANGOR, Jun 17: Sebuah keluarga cemas selepas menjumpai seekor ular sawa bersembunyi di belakang almari di rumah mereka di Sungai Ulu Meradong di sini hari ini.
Panik dengan kehadiran reptilia itu, penghuni rumah berkenaan kemudian menghubungi pihak bomba.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan ular sawa itu pada pukul 2.06 petang.
Jelasnya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi khas menangkap reptilia itu.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati terdapat seekor ular sawa berada di belakang almari baju di dalam rumah si pelapor.
“Anggota bomba kemudian menggunakan alat penjerut untuk menjerut ular tersebut dan kemudiannya melepaskan reptilia itu ke habitat asal di kawasan hutan berhampiran,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap sama menambah, anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap ular sawa itu.
“Operasi khas berkenaan tamat sepenuhnya pada pukul 2.35 petang,” katanya. — DayakDaily