Sebuah keluarga cemas, rumah didiami terbakar

Kelihatan anggota bomba sedang berusaha memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Mei 4: Sebuah keluarga cemas apabila kediaman mereka di Kampung Samariang Pinggir di sini terbakar, lewat petang semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, tiada kecederaan dilaporkan berlaku.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung dengan kebakaran itu pada pukul 6.12 petang.

Katanya, sejurus itu sepasukan anggota bomba dari BBP Petra Jaya telah bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar sebuah rumah di situ. Pasukan bomba segera melakukan operasi memadam dan kebakaran dapat dikawal dalam tempoh kira-kira 10 minit,” katanya di sini hari ini.

Kelihatan anggota bomba sedang berusaha memadam kebakaran.

Jurucakap sama menambah, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam proses siasatan.

“Operasi memadam kebakaran tamat sepenuhnya pada pukul 6.35 petang,” ujarnya. — DayakDaily